Friday, September 21, 2012

KEPENTINGAN BERKOMUNIKASI

Adakah anda tahu bahawa kemahiran bertutur berhubung kait dengan kemahiran menulis. Hal ini adalah kerana melalui pertuturan kanak-kanak mengumpul maklumat dalam memori jangka panjang mereka. Simpanan perkataan-perkataan tersebut akan dikeluarkan secara automatik apabila tiba masanya untuk mereka gunakan. Oleh yang demikian semasa zaman awal kanak-kanak ibu bapa jangan menghalang kanak-kanak dari bertanya dan berkomunikasi. Ibu bapa perlulah membimbing mereka.

Wednesday, September 19, 2012

Semua Bahan di Sekeliling Anda adalah Bahan Cerita

Pernahkah anda kehabisan idea untuk menulis? Mengapakah hal ini terjadi? Bagaimanakah untuk mengatasi? Idea menulis tidak dapat diundang. Kadang-kala idea ini datang sewaktu kita sedang memandu kereta. Ada juga idea datang sewaktu kita sedang bersantai. Oleh sebab itu, saya akan sentiasa membawa buku nota kecil untuk memudahkan saya mencatat apa sahaja idea yang datang secara tidak diundang ini. Mengapakah saya perlu mencatat idea? Semua manusia mempunyai dua jenis memori iaitu memori jangka pendek dan memori jangka panjang. Idea yang tersimpan dalam memori jangka pendek akan hilang dalam masa yang singkat dan tidak akan dapat kita ingati. maka untuk idea tersebut disimpan dalam memori jangka panjang maka proses yang dikenali sebagai pengulangan (rehearsal) perlu dilakukan. Satu lagi cara ialah melalui 'Writing burst'. 'Writing burst' merupakan satu proses yang dapat membantu kita menyimpan idea ke memori jangka panjang. Caranya kita mencari satu bahan sama ada alat, ayat, frasa atau rangkap lagu dan lain-lain lagi. Kemudian kita mula mencatatkan apa sahaja idea tentang bahan tersebut. Curahkan idea tersebut selama 10 minit tanpa henti ke atas sekeping kertas. Kemudian anda bolehlah memulakan penulisan anda mengikut tajuk atau tema yang anda telah pilih. Sesekali rujuklah 'writing burst' anda. Hasilnya, Wow, penulisan anda akan menjadi hebat!. Selamat mencuba.

Tip Memulakan Kemahiran Menulis

Adakah anda tahu menulis tentang diri sendiri merupakan permulaan yang bijak bagi memulakan kemahiran menulis. Hal ini kerana anda lebih arif tentang diri kamu. Maka dengan itu, anda dapat mengolah ayat untuk menggambarkan keistimewaan yang terdapat pada diri sendiri. Setelah itu, proses ini boleh dikembangkan kepada ahli keluarga yang terdekat, sahabat handai dan barulah kepada masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam. Jom, menulis!!!

Monday, September 3, 2012

AJAIBNYA CINTA



            Tingkatan  4P1 masih sunyi. Cuma ada beberapa beg sahaja yang terletak di bangku manakala tuan empunya beg entah ke mana. Damia menggalas beg galasnya menuju ke tempat duduknya yang terletak di tempat paling belakang. Damia sengaja memilih tempat di hujung dunia itu bagi mengelakkan kuapan dan senggukkannya kurang ketara kelihatan di mata Cikgu Anum. Cikgu Anum yang garangnya mengalahkan Hitler menyebabkan Damia
perlu berada pada jarak yang paling jauh dari cikgu kesayangan Zetty itu. Damia selalu menjadi ‘murid kesayangan’ Cikgu Anum kerana namanyalah yang kerap dipanggil sama ada untuk menjawab soalan yang diajukan, berdiri kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberi mahupun kerana menjadi antara pelajar yang gagal dalam matapelajaran Matematik. Subjek Matematik merupakan subjek yang paling Damia anti. Nombor-nombor yang  tertera memeningkan kepala Damia apa lagi untuk menyelesaikan soalan Matematik. Bagi Damia untuk menyelesaikan masalah matematik sama sukar dengan tugas forensik untuk menyelesaikan masalah jenayah. Semuanya perlukan bukti dan jalan kerja. Leceh.
            Damia meletakkan beg galasnya di atas kerusi plastik berwarna coklat. Beberapa buah buku yang dipegangnya dimasukkan ke dalam ruangan di bawah meja. Namun buku itu tidak dapat masuk sepenuhnya seperti ada sesuatu yang menghalang. Damia segera meraba-raba benda yang berada di dalam ruangan bawah mejanya. Tangannya dapat merasakan sesuatu yang agak keras dan berbucu. Otaknya mentafsirkan bahawa itu ialah sebuah kotak. Sangkaannya benar apabila dia menarik keluar ternyata itu adalah kotak bewarna merah jambu  yang diikat dengan reben bewarna keemasan. Cukup comel dan menarik.
“ Siapalah agaknya yang bagi hadiah ni? Setahu aku, aku ni taklah sepopular Zetty. Lantaklah orang dah bagi, rezeki jangan ditolak”, Damia tersengih-sengih sendirian sambil jejarinya pantas meleraikan ikatan reben yang mengikat kotak merah jambu tersebut. Sebaik sahaja kotak tersebut dibuka, Damia menjerit. Apa taknya kerana kotak itu mengandungi seekor tikus plastik, haiwan yang bisa menyebabkan dia melompat-lompat malah berlari tanpa henti. Pada mulanya Damia menyangkakan tikus itu adalah tikus yang sebenar tetapi apabila tertera di bahagian tepi tikus itu ‘Made in China’ barulah dia tahu rupa-rupanya itu hanyalah tikus plastik. Walaupun begitu ianya tetap membuatkan Damia berasa geli geleman.
            Zetty yang baru sahaja masuk ke dalam kelas turut terkejut mendengar jeritan Damia.
“Hei, kenapa dengan kau. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba menjerit”, Zetty bersuara separuh menjerit kerana dia turut terkejut dengan jeritan Damia tadi.
“Wow, ada hadiah la!” Zetty bersuara lagi sambil tangannya menarik kotak bewarna merah jambu itu. Kali ini Zetty pula menjerit kerana terkejut melihat tikus plastik yang berwarna hitam itu terbaring di dalam kotak itu.
“Oi, siapa punya kerja ni!. Nasib baik aku tak ada penyakit jantung. Kurang asam betul”, Zetty mengetap bibirnya sambil mengurut-urut dadanya.
“Aku tahu ni mesti kerja Si Syamsul Bangau tu. Nanti dia. Tak habis-habis cari pasal dengan aku”. Damia mula meneka-neka siapa yang telah mengenakannya. Syamsul pelajar Tingkatan 5P2 merupakan musuh utama Damia di sekolah itu. Syamsul selalu mengenakan Damia. Damia sendiri pun tidak mengerti kenapa Syamsul suka sangat mengganggu dirinya. Apa sahaja yang Damia lakukan pasti menjadi bahan usikan Syamsul. Damia segera menarik keras kotak merah jambu itu lalu keluar dari kelasnya menuju ke kelas 5P2. Sampai sahaja Damia di Kelas 5P2, dia segera menuju ke tempat duduk Syamsul. Bangku tersebut kosong. Beg Syamsul juga tidak ada di situ.
“Mungkin Si Bangau ni bawa beg dia sekali ke bawah” bisik hati kecil Damia.
Beberapa orang kawan Syamsul yang baru masuk ke dalam kelas mula mengusik Damia.
“Fuyo, ada hadiah untuk Syamsul lah. Warna pink lagi.” Amran kawan baik Syamsul bersuara sambil ketawa diikuti oleh rakan-rakannya yang lain.
“Hei, tolong sikit tak ada masa aku nak bagi hadiah kat Si Bangau tu. Daripada aku bagi dia, lebih baik aku bagi kat beruang”, Damia menyangkal andaian Amran sambil bercekak pinggang lalu pergi meninggalkan Amran dan rakan-rakannya. Manakala Amran dan yang lain masih mengetawakan Damia. Hati Damia bertambah geram.
            Indera lihat Damia mencari-cari  Syamsul sewaktu perhimpunan sekolah sedang berlangsung namun bayangnya pun tidak kelihatan. Damia mula berasa ragu dengan hadiah yang diterimanya sebentar tadi. Kalau benar Syamsul yang memberikan kotak itu mengapa Syamsul tidak ada di sekolah pada pagi ini. Jadi siapa yang memberikan hadiah itu kepadanya.
            “Syamsul datang tak hari ni?”, Damia bertanyakan kepada salah seorang pelajar dari kelas 5P2.
            “Rasanya tak sebab dari tadi tak nampak,” jelas pelajar tersebut.
            “Jadi betullah hadiah tu bukan datang dari Syamsul” bisik hati Damia.
Sedang Damia memikirkan kotak merah jambu tersebut, mata Damia terpandangkan Cikgu Anum yang sedang duduk di kerusi di atas pentas. Perutnya kecut apabila memikirkan tugasan yang diberi oleh Cikgu Anum masih belum disiapkannya lagi.
            “Matilah aku, lepas perhimpunan ni Cikgu Hitler tu masuk”, hatinya berkata-kata. Pagi tadi sememangnya Damia berniat untuk meniru jawapan dari Zetty tetapi disebabkan oleh kotak merah jambu misteri itulah menyebabkan Damia terlupa akan tugasan tersebut. Damia mencuit pinggang Zetty yang sedang beratur di hadapannya.
            “Apahal?”, Zetty agak terkejut dan meliuk kegelian.
“Tugasan Cikgu Anum aku tak siap lagi lah”, Damia berbisik perlahan.
“Kau nak mampus? Cikgu Anum dah bagi amaran terakhir kat kau. Kalau tidak dia nak bagi surat cinta kat parent kau. Dah tu nak buat macam mana? Lepas ni waktu Matematik” Zetty agak terkejut dengan pengakuan berani mati Damia.
“Dah tu nak buat macam mana? Buat bodoh la....”, jawab Damia bersahaja.
“Kau ni memang tak serik-seriklah... walau macam manapun tahniah sebab kau memang

 poyo. He he he” Zetty tergelak kecil sambil tangannya menekup mulutnya yang mengeluarkan

 ketawa yang agak kuat. Damia dan Zetty dihampiri Zeera pengawas dari tingkatan 5 Sains 1. 

Zeera menunjukkan isyarat supaya diam sambil menjeling kea rah Damia dan Zetty. Zetty 

menabik tangan ke arah Zeera tanda akur kepada perintah pengawas yang menjadi pujaan 

ramai pelajar lelaki di sekolahnya itu. 

Siapakah pengirim sebenar kotak merah jambu? Apakah kaitan Syamsul Bangau dengan Damia? Jika anda ingin mengetahui kesudahan cerita ini nantikan novel Ajaibnya Cinta yang akan berada di pasaran....