Friday, October 28, 2011

Membangunkan Metakognitif murid

Murid-murid digalakkan untuk memberi pendapat agar metakognitif mereka dapat dibangunkan. Bagaimanakah metakognitif mereka dapat dibangunkan? Guru memberi satu soalan kepada murid-murid. Murid-murid di minta menjawab secara lisan. Sekiranya mereka belum dapat menjawab soalan tersebut, maka mereka akan terus ditanya sambil diberi klu sehinggalah jawapan yang tepat diperoleh daripada murid. Hal ini akan meningkatkan kemahiran metakognitif mereka. Mengapa kemahiran metakognitif ini penting? Hal ini adalah kerana memori murid-murid yang sedang berkembang tidak dapat menampung terlalu banyak input maka sementara memori bekerja mereka dapat mengeluarkan input secara automatik maka metakognitif mereka perlu dibangunkan.

Tuesday, October 25, 2011

Memahami Kehendak Soalan

Memahami kehendak soalan penulisan, sering kali diabaikan oleh murid-murid. Hal ini akan merugikan mereka seandainya penulisan mereka tersasar dari kehendak soalan. Murid-murid perlu dilatih memahami kehendak soalan terlebih dahulu sebelum melatih mereka menulis karangan. Kerap berlaku, di mana murid-murid salah mengikut kehendak soalan. Contohnya kehendak soalan memerlukan murid-murid menulis karangan fakta tetapi mereka menulis karangan cerita. Mengapa ini terjadi? Punca utama kerana mereka tidak peka dan gagal mencari kata kunci kepada tajuk soalan. Maka, murid-murid perlu dilatih mencari kata kunci dalam soalan yang diberi.

Contoh:
                            3                                                             2                      
Dalam perjalanan pulang ke rumah, kamu terlihat satu kebakaran.  
      1
Gambarkan suasana di sana.


Lihat pada nombor 1: jenis karangan = keperihalan ( cara menulis sama seperti karangan cerita)
Lihat pada nombor 2: kebakaran ( Fokus karangan ialah kebakaran bukan kecurian, kemalangan dll)
Lihat pada nombor 3: pulang ke rumah ( bukan semasa pergi ke sekolah atau balik ke kampung atau ke rumah kawan)

Masalah inilah yang selalu saya temukan semasa menyemak karangan murid-murid saya. Namun setelah mereka dilatih untuk memahami kehendak soalan maka karangan mereka tidak lagi tersasar dari kehendak soalan.

Menghidupkan Sesebuah Penulisan

Sesebuah karya perlu diberi 'jiwa' agar hasilnya memberi impak kepada para pembaca. Persoalannya bagaimana untuk kita memberi 'jiwa' kepada sesuatu penulisan itu?.  Jawapannya ada di bengkel penulisan yang akan dijalankan pada November dan Disember 2011 ini. Jadi, jangan tunggu lagi. Daftar segera. Tempat terhad!

Saturday, October 22, 2011

PILIHAN DI TANGAN ANDA

( A)
      Pada suatu hari, saya dan keluarga telah pulang ke kampung. Kami pulang ke kampung dengan menaiki sebuah kereta. Kami bertolak ke sana pada pukul 8.00 pagi.

(B)
     Suasana pada pagi ini sungguh cerah. Hatiku berbunga gembira apabila bapa memberitahu bahawa kami akan pulang ke kampung pada pagi ini. Seperti lipas kudung aku dan adik bergegas ke bilik untuk mengemaskan barang-barang yang akan dibawa.

Lihat dua contoh perenggan pendahuluan yang berbeza (A) dan (B) tetapi memberi maksud yang sama iaitu pulang ke kampung. Pendahuluan (A) merupakan penulisan yang biasa ditulis oleh murid-murid sekolah rendah berbanding pendahuluan (B). Jika anda sebagai seorang pembaca pendahuluan yang manakah yang akan memacu anda untuk terus membaca sesebuah karya (A) atau (B). Jika anda ingin mengetahui teknik menjadi penulis hebat dan anda merupakan kanak-kanak berumur 10 tahun-12 tahun maka anda layak mengikuti bengkel penulisan saya. Anak-anak didik saya sudah mampu melakukannya. Anda? Berminat? Hubungi saya untuk tempahan tempat duduk.

Friday, October 21, 2011

Kepentingan Gambaran Mental dalam Penulisan

Pentingnya gambaran mental semasa proses menulis berlangsung, sama pentingnya dengan plot cerita yang dihasilkan. Hal ini kerana gambaran mental tersebut membantu melancarkan sesuatu proses penulisan. Bayangkan jika anda sedang memandu, sudah pasti terdapat destinasi yang anda ingin tuju. Dalam menuju ke destinasi tersebut fikiran anda akan menggambarkan perkara-perkara yang berkaitan dengan tempat yang anda akan tuju. Dengan ini anda akan lebih fokus kepada pemanduan anda. Begitu juga dalam proses menulis, gambaran mental amat penting dalam memastikan penulisan anda tidak tersasar dari tajuk penulisan anda.

Selamat mencuba

Thursday, October 20, 2011

Anda Boleh

Hari ini, saya telah siap menyemak kertas soalan peperiksaan akhir tahun murid-murid tahun 5Bestari sekolah saya. Setiap kali menanda kertas mereka mimik muka saya sentiasa berubah. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri, ada kalanya saya ketawa, ada juga berkerut dahi membaca penulisan mereka. Namun begitu saya amat berpuas hati apabila 98% daripada mereka menggunakan teknik penulisan yang telah saya ajar. Bayangkan mereka yang dulunya hanya memperoleh 40% dan adakalanya gagal dalam penulisan berjaya mendapat 80% ke atas. Ada juga di antara mereka yang berjaya memperoleh 90% ke atas. Tak terhingga rasa syukur saya panjatkan apabila teknik-teknik yang telah saya gunakan mampu membantu mereka. Jika dulu semasa mereka berada dalam tahun 4 saya berasa amat bimbang dengan keputusan peperiksaan penulisan mereka kini saya boleh tersenyum bangga. Mana tidaknya jika dulu mereka hanya mampu memperoleh 40% dan 50% membuatkan saya berasa begitu bimbang. Cara demi cara saya fikirkan dalam membantu anak-anak didik saya akhirnya membuahkan hasil.

Saya teringatkan anak-anak murid saya di Sek Keb Bukit Gelugor tempat saya mengajar sebelum ini. Mereka juga mengalami masalah yang sama. Namun teknik-teknik yang telah saya gunakan mampu menjadikan mereka mahir dalam penulisan. Bayangkan kanak-kanak berumur 11 tahun sudah mampu menerapkan unsur personafikasi, metafora dan menggunakan plot cerita dalam menghasilkan karangan yang baik. Pernah saya tunjukkan kepada suami saya hasil penulisan murid saya yang bernama Yoganandam. Saya bertanyakan suami saya "Agak-agak you budak yang tulis karangan ini tingkatan berapa?" Setelah membacanya suami saya menjawab dengan yakin "Tingkatan 3". Dia seakan tidak percaya apabila saya mengatakan bahawa murid ini hanya berusia 11 tahun. Ramai lagi murid-murid saya yang berjaya menulis dengan baik. Antaranya Benjamin Yeoh, Brendon, Melissa, Gurraj Singh dan ramai lagi. Saya mengajar mereka sejak mereka berada di tahun 4 dan seterusnya atas permintaan ibu bapa saya mengikuti mereka sehingga darjah 5. Pelbagai program saya wujudkan antaranya Pengeditan Hasil Penulisan Murid, Program Penulisan Fakta (PEKA), Program Penulisan Cerita (PETA), Teknik Plot dan anak toyol dan banyak lagi benar-benar membantu mereka menjadi mahir menulis.

Kini saya meneruskan perjuangan saya di Sek Keb Sri Aman. Mereka juga berjaya menjadi penulis yang hebat. Dalam 35 orang murid, 26 daripada mereka mendapat A, 5 orang mendapat B dan 4 orang mendapat C. Tahniah kepada mereka yang selama ini menjadi pendengar yang baik semasa saya mengajar.

Sunday, October 16, 2011

Berita Harian KHALIFAH KERAJAAN BUSUT Oleh: Hana Arissa (Norhazlina Abdullah)

khalifah Kerajaan Busut

MENULIS

Apabila kita disuruh menulis kadang kala kita seperti kehilangan idea. Tergambar dibenak fikiran persoalan-persoalan seperti 'nak tulis apa?', 'di mana harus bermula?' dan banyak lagi. Proses menulis samalah seperti proses menenun untuk dijadikan pakaian. Yang berbeza ialah kita menenun abjad untuk dijadikan perkataan,seterusnya frasa ayat dan akhirnya menjadi sebuah penulisan atau karangan. Bagi murid-murid sekolah rendah mereka sering didedahkan dengan 6 perenggan bagi setiap karangan. Perenggan-perenggan itu terdiri daripada perenggan pendahuluan, isi 1, isi 2, isi 3, isi 4 dan penutup. Namun apa yang kita inginkan bukanlah penekanan kepada bilangan perenggan itu malah lebih dari itu. Apa yang kita inginkan ialah kualiti sesebuah penulisan itu. Bagaimana murid-murid bermain dengan perkataan, mengolah ayat, mengaitkan satu isi dengan satu isi yang lain dan akhirnya menghasilkan satu penulisan yang berkualiti. Jika mereka boleh menguasai ini, maka apa jua bentuk penulisan dapat ditulis dengan baik dengan hanya sedikit nilai tambah kepada sesebuah penulisan itu.

BENGKEL PENULISAN

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam hormat dan salam 1 Malaysia

Kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang perlu dipupuk bagi menghasilkan sebuah penulisan yang berkualiti. Maka, mahirmenulis2U disediakan untuk murid-murid sekolah rendah yang ingin meningkatkan kemahiran menulis mereka. Di blog ini, murid-murid akan mempelajari teknik menulis secara berperingkat.