Thursday, November 22, 2012

TAHNIAH....

Sekalung tahniah kepada anak-anak murid saya yang mendapat A, B dan C dalam subjek Bahasa Melayu. Anak-anak murid saya ini merupakan anak-anak murid di kelas yang paling belakang. Mereka kerap dilabelkan sebagai murid-murid bermasalah hanya kerana mereka berada di kelas yang paling corot. Ada di antara mereka yang tidak menguasai kemahiran membaca apalagi kemahiran menulis. Pernah pada awal tahun saya memohon untuk mengikuti anak-anak murid saya yang berada di kelas pertama memandangkan saya telah mengajar mereka sejak  mereka  dari Tahun 4 dan Tahun 5 lagi tetapi permohonan saya ditolak kerana ketidakpercayaan yang tinggi daripada pihak pentadbir terhadap kemampuan saya. Walau bagaimanapun saya tetap berusaha merayu untuk mengikut mereka sehingga ke Tahun 6 kerana saya yakin akan prestasi mereka yang rata-ratanya berpotensi untuk mendapat A dan B dalam peperiksaan. Saya telah menyediakan laporan pengajaran selama 2 tahun saya bersama mereka berserta strategi, kaedah dan program yang telah saya jalankan. Bukan itu sahaja graf peningkatan mereka dalam pencapaian subjek Bahasa Melayu telah saya kemukakan sepanjang 2 tahun berturut-turut. Alangkah sedihnya apabila rayuan saya ditolak dengan alasan khuatirkan prestasi BM UPSR 2012 akan jatuh sekiranya saya mengajar di kelas pertama. Maka saya diberi kelas Tahun 6 yang paling corot. Saya ambil cabaran tersebut memandangkan personaliti saya yang 'Risk Taker' yang suka akan cabaran. Tahun 6G sering dilabel sebagai murid yang tak pandai, bermasalah dan lain-lain oleh segelintir guru dan mereka sering dimarah. Namun bagi saya hak untuk belajar dan diajar ialah hak untuk semua murid sama ada mereka pandai atau tidak. Untuk mengajar kemahiran menulis kepada mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh sebab itu, saya melakukan ujian diagnostik pada awal tahun untuk mengenalpasti mereka yang berpotensi untuk cemerlang, yang sederhana dan yang lemah. Setelah itu, teknik-teknik menulis seperti yang saya telah hasilkan di blog ini telah saya aplikasikan kepada mereka. Sedikit demi sedikit kemahiran menulis mula berkembang dalam diri mereka.
Saya mengamalkan sikap tegas dalam proses P&P. Setiap marah yang saya lemparkan pada mereka berserta kasih sayang seperti marah seorang ibu kepada anak. Tidak ada pilih kasih yang saya amalkan. Disamping itu unsur-unsur spiritual saya selitkan dalam kelas saya. Adab bersalam dengan guru selepas habis waktu pengajaran saya memang saya wajibkan. Ceramah-ceramah agama seperti Halaqah Sentuhan Qalbu saya perdengarkan sehinggakan mereka menjadi murid yang begitu akrab dengan saya. Saya ambil salah seorang murid tinggal bersama saya pada saat UPSR semakin hampir untuk memastikan disiplin belajarnya teratur.

Pada Peperiksaan Pertengahan Tahun dua orang murid iaitu Danial Ridhwan dan Afiq Danial telah memperoleh B dalam penulisan mereka. Namun markah yang saya tanda itu telah dipersoalkan oleh pihak pentadbir. Beliau menyemak semula kertas tersebut kerana beliau tidak percaya akan markah yang diberi oleh saya. Beliau mengubah markah tersebut dari B kepada C. Saya rasa begitu marah kerana mereka anak murid saya dan saya tahu akan prestasi yang ditunjukkan mereka. Alhamdulillah setelah keputusan UPSR diumumkan Danial Ridhwan berjaya memperoleh A dan Afiq Danial berjaya memperoleh B seperti yang saya jangkakan.

Seorang murid perempuan di kelas 6G iaitu Anis Aqilah saya rasa begitu istimewa sekali kerana dia tergolong dalam murid PROTIM sejak tahun 4 dan 5 lagi. Dia tidak tahu membaca dan menulis. Berkat kesungguhan saya dan dirinya mengamalkan semua teknik yang saya berikan dia berjaya memperoleh markah B dalam penulisan. Syukur Alhamdulillah...

Kepada semua pembaca yang mahu meningkatkan kemahiran menulis anda, jangan bertangguh lagi untuk mengamalkan teknik-teknik yang saya paparka dalam blog ini kerana sedetik anda bertangguh anda telah menangguhkan kejayaan anda menjadi penulis yang hebat.