Monday, November 14, 2011

Di Bawah Awan Kumulonimbus

            Pertemuan antara  insan yang bergelar Esekutif Muda di sebuah syarikat terkenal di ibu kota dan Amin seorang pemuda yang bekerja sebagai budak pejabat bermula di ambang kerapuhan nilai kemanusiaan yang meruncing. Ianya bermula dengan sapaan Amin yang mesra untuk memulakan pertalian persaudaraan dengan saudara yang selama ini dikenali dari jauh sahaja . Mereka bekerja di syarikat yang sama namun berbeza darjat dan taraf menyebabkan mereka terpisah bagaikan dua buah benua. Kadang-kala mereka bertembung di ruangan pejabat ketika Amin bertugas mengutip surat-surat dan dokumen-dokumen yang hendak diserahkan. Ada ketikanya juga mereka terserempak di depan pintu lif mahupun di dalam lif. Amin juga pernah membantu mengutip dokumen yang terjatuh dari tangan esekutif muda itu semasa dia sedang dalam keadaan yang tergesa-gesa. Tidak pasti sama ada esekutif muda tersebut masih mengingati Amin atau tidak.  Sapaan Amin sebentar tadi semasa sama-sama menunggu lif membuatkan esekutif muda itu berasa agak kaku dan tembok kesangsian menjadi benteng yang paling besar  bagi mewujudkan kemesraan antara mereka.  Namun Amin masih kuat untuk memintal jalinan persahabatan dengan esekutif muda itu. Bagi Amin inilah peluangnya untuk mendekati esekutif muda itu. Amin berharap dengan perkenalan yang dihulurkan dapat membantu Amin meluaskan rangkaian pelanggannya. Seandainya ada rezeki pasti esekutif muda itu berminat untuk turut serta dalam perniagaan MLM  yang diceburinya. Agak sukar untuk meruntuhkan tembok kesangsian yang menghalang salam ukhuwah yang ditebarkan. Berkat niat suci yang berpinak dalam jiwa Amin maka ada sahaja jalan yang dipermudahkanNya bagi menerbitkan rasa kekitaan antara mereka. Dari langit yang ternganga luas, kelihatan awan diselimuti mendung yang gelap. Itu petanda akan turun hujan dari dada langit  yang semakin memberat. Amin cuba memulakan bicara dengan menenun kata-kata untuk dipersembahkan kepada esekutif muda tersebut. Seperti biasa esekutif muda itu menjawab dengan bersahaja setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya. Bagi esekutif muda itu, kehadiran Amin tidak perlu diberi perhatian. Kehadiran Amin tidak menjanjikan apa-apa kepentingan kepadanya. Tidak ada tawaran kuasa, pangkat mahupun nama jadi dia mengambil keputusan untuk terus membina tembok penghalang antara mereka. Mereka berdua diam seketika sambil menyaksikan pemandangan yang kelam menerusi kaca lif yang mereka naiki.
            Awan yang semakin memberat akhirnya memuntahkan beban yang mencurah-curah setelah tiada daya untuk mempertahankan beban yang dihamilnya. Terperangkaplah esekutif muda dan Amin yang mempunyai darjat yang berbeza di bawah satu bumbung alam yang sama. Masing-masing tidak dapat meneruskan perjalanan yang direncanakan walaupun tempat yang dituju hanyalah ke kawasan parkir yang tidak berapa meter dari pintu utama syarikat. Itulah hakikat. Segalanya telah tertulis di Luh mahfuz yang bergerak mengikut kehendakNya. Pasti kemanisan hikmah yang tersorok akan muncul di jala kebenaran yang tertebar. Amin masih sama, berusaha memancing kemesraan esekutif muda yang seakan ternoktah hilang bersama aliran air hujan di dada bumi yang entah ke mana dibawa. Akhirnya ada sedikit senyuman terukir di bibir esekutif muda itu. Walaupun sedikit tapi cukup untuk memulakan sebuah persahabatan.
Amin memandang esekutif muda itu yang hampir sahaja berjaya dibawa keluar dari dunia ciptaannya sendiri sambil berbicara. Bagi Amin biar berdikit-dikit asalkan matlamat berjaya digapai. Bagaikan menarik rambut di dalam tepung nada bicaranya diatur cukup cantik agar saudara yang baru sahaja dirapatinya itu selesa menjalin persahabatan dengan dirinya.
“Sudah lamakah encik bekerja di sini?”, Amin memulakan bicara dengan pertanyaan yang ringkas namun cukup ramah bunyinya.
“Ya, agak lama”, esekutif muda itu menjawab dengan nada yang sedikit angkuh. Hidup di kota batu ini sememangnya memerlukan perisai diri yang kuat. Masing-masing bagaikan hidup di dalam sebuah litar  perlumbaan untuk mencapai sesuatu yang rata-ratanya bersifat peribadi. Jika penghuni di kota batu itu merupakan penghuni yang miskin pengaruh, pangkat dan nama pasti mereka tidak ubah seperti melukut di tepi gantang.Hanya mereka yang benar-benar kuat akan diterima dalam kelompok manusia di kota batu ini.  ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ itulah pegangan esekutif muda dan rata-rata penghuni di sini.
“Bersendiri atau sudah berkeluarga?”, Amin meneruskan pertanyaan bagi membuka ruang perkenalan yang mula sedikit terkuak.
            “Bersendiri”, yakin benar suara esekutif muda itu tatkala meluahkan bicara.
            Amin diam buat beberapa ketika. Esekutif muda itu pula terus hinggap di dahan sepi untuk kesekian kalinya. Dia berharap tiada lagi pertanyaan-pertanyaan yang akan ditebarkan oleh manusia ini kepadanya kerana ada lagi perkara yang lebih penting harus difikirkan oleh mindanya. Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikannya. Bagaimana untuk membina pagar setinggi mungkin yang boleh mengasingkannya dari jiran-jiran di kiri dan di kanan rumahnya? Pagar itu nanti setidak-tidaknya dapat menghalang bola yang ditendang oleh anak-anak jiran rumahnya dari masuk ke pekarangan rumahnya yang sudah dihias cantik. Bukan murah –murah hiasan tersebut. Semuanya berharga ribuan ringgit yang dibeli dari luar negara. Dengan adanya pagar itu juga mampu menghindarkan dirinya dari ditandang oleh peminta-peminta derma yang tak habis-habis mengetuk pintu rumahnya. Bukan itu sahaja dia juga dapat mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti masyarakat setempat. Biarlah loceng pagarnya berdering berkali-kali, biar indera dengarnya dikatakan tuli asalkan indera pandang mereka di luar pagar rumahnya dapat ditutup rapat, kejap. Sedang agenda-agenda yang dirancang beranak-pinak di minda esekutif muda, Amin meneruskan bicaranya agar kebisuan sebentar tadi tidak terus menoktahkan bicara persahabatan yang ingin dibina.
“ Tidak sunyikah saudara bersendirian di kota batu ini?” Amin bertanya sambil membetulkan duduk punggungnya agar lebih selesa.
“Sudah biasa. Saya lebih suka bersendiri. Lebih tenteram, lebih privasi” nada angkuh menyulami ulas bicara esekutif muda yang mengharapkan Amin menyelami maksud yang disampaikan. Dia mengharapkan agar frasa ‘lebih suka bersendiri’ itu tertanam kejap di dalam minda Amin. Dengan itu dia akan ditinggalkan bersendiri tanpa ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang terus-terusan mengasaknya.
Amin memandang jauh merenung alam ciptaan Ilahi yang tersusun cantik. Sempurna. Alam yang dihuni dengan pelbagai makhluk ciptaanNya yang masing-masing mempunyai fungsi dalam rantai makanan yang akhirnya melebar menjadi siratan makanan. Ekosistem ciptaanNya inilah membuktikan tiada yang boleh berdiri dengan sendiri melainkan diriNya. Keampuhan nilai-nilai kemanusiaan menyebabkan lahirnya beribu-ribu manusia yang angkuh dan mempunyai sikap keakuan di muka bumi ini. Mereka yang mengejar nikmat duniawi dan menolak ukhrawi. Niatnya untuk memperkenalkan perniagaan MLMnya terbantut dengan kenyataan esekutif muda itu. Konsep hidup dalam pemikiran esekutif muda itu perlu dia perbetulkan terlebih dahulu sebelum dia memperkenalkan perniagaan MLMnya ini.
“Bersendiri itu kadang kala baik untuk kita bermuhasabah diri, tetapi bukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Allah telah mencipta setiap makhluk itu saling memerlukan. Encik tahu, jika hidup bersendiri maka kesepian itulah temannya. Dari kesepian itu pula lahirnya kebosanan. Apa yang ditakuti, kebosanan itu akan mengumpan syaitan mendekati diri maka lahirlah penyakit-penyakit hati seperti sombong, riak, hasad dan pelbagai lagi. Encik perlukan sahabat. Ya, seorang sahabat mungkin atau beribu-ribu sahabat jika encik mahu untuk mengindahkan kehidupan di muka bumi ini.”  Amin menjalin perkataan demi perkataan lalu dipersembahkan kepada esekutif muda itu.
Esekutif  muda yang dari tadi cuma bersuara sepatah-sepatah, mula menyusun kata di dalam mindanya untuk membidas kata-kata Amin. Bagi esekutif muda itu, kehidupan yang dilaluinya di kota batu ini adalah pilihannya. Lurus, bengkok, simpang-siur kehidupan kota sudah begitu arif untuknya mentafsir. Hanya dengan membina tembok-tembok keagungan sebagai seorang manusia yang berjaya sahaja mampu menjadikan orang itu seseorang. Jika gagal , orang itu hanya menjadi tidak ubah seperti orang-orang yang berada di tengah-tengah bendang. Berpanas, berhujan menghambakan diri kepada mereka yang berpengaruh, berkuasa dan berharta.  Jadi dia lebih mengetahui apa yang baik dan buruk untuk dirinya. Esekutif muda lantas bangun dari kerusi batu yang didudukinya lalu menuju ke salah satu tiang yang menjadi tunjang bumbung tempat mereka berteduh. Kakinya menyepak-nyepak tin minuman yang ada di dada lantai. Dia tidak mahu hidupnya menjadi seperti tin yang ditendang dan dipijak itu.
“Apa yang saudara tahu tentang hidup. Bagi saya, keikhlasan tidak wujud. Setiap mereka yang ingin mendampingi menyembunyikan niat sebenar mereka. Agenda yang mereka atur untuk kepentingan diri mereka. Saya sudah arif tentang kehidupan ini. Saya tidak perlukan sahabat untuk menemani kehidupan saya. Saudara bercakap tentang kesepian, kebosanan, syaitan dan penyakit hati sebentar tadi.”  Esekutif  muda diam seketika sebelum menyambung semula bicaranya
“Adakah saudara menyedari selama ini semua yang saudara ungkapkan itu wujud dalam dunia persahabatan. Mereka mempunyai ratusan sahabat namun mereka masih merasakan sepi kerana persahabatan mereka tidak bertunjangkan keikhlasan. Mereka juga merasakan kebosanan kerana terpaksa saling mengampu untuk menjaga kepentingan masing-masing. Syaitan juga wujud dalam kalangan mereka. Malah lebih teruk lagi ada antara mereka merupakan syaitan yang bertopengkan manusia sehingga penyakit hati menyerang hati-hati mereka. Jika tidak masakan mereka saling berbalah, saling menikam, saling memfitnah dan saling mengeji. Itu yang saudara kata dunia persahabatan? Saya bukan manusia hipokrit. Biar saya menjadi diri saya sendiri”,  Kata-kata itu berlumba-lumba terhambur dari mulut esekutif muda. Dia begitu yakin dengan falsafah hidupnya. Tegakkan sifat keakuan dan jauhkan sifat kekitaan.
Amin mendengar dengan teliti. Sesekali Amin mengangguk-anggukkan kepalanya. Bukan bermaksud dia bersetuju dengan kata-kata esekutif muda itu tetapi hanya sebagai reaksi menghormati orang yang sedang berbicara. Ada benarnya kata-kata esekutif  muda itu kerana dia sendiri mempunyai matlamat peribadi semasa menghulurkan salam perkenalan kepada esekutif muda itu namun ilmu persahabatan masih cetek tertanam di hati esekutif muda itu. Saudara yang baru dikenalinya itu masih belum merasai keranuman buah-buah persahabatan. Masih belum merasai kemanisan sebuah keikhlasan persaudaraan. Dia belum dapat menjiwai erti ukhuwah dan hebatnya hidup bertunjangkan hablumminannas.
            Petir dan guruh bersatu meraikan curahan hujan dari awan hitam. Cahaya dan bunyi dari petir dan guruh begitu akrab saling melengkapi. Esekutif muda memandang ke jam tangan yang terletak elok di pergelangan tangan kirinya. Sudah hampir sejam dia terperangkap akibat hujan yang mencurah-curah. Baginya sejam tercegat begini hanya membuang masanya sedangkan ada urusan penting yang perlu diselesaikan olehnya di luar sana. Beberapa pekerja lain yang mempunyai payung meninggalkan mereka. Sebelum meninggalkan esekutif muda dan Amin masing-masing mempelawa Amin berkongsi payung dengan mereka. Namun tiada seorang pun yang menawarkan payung kepada esekutif muda tersebut.  Dengan ramah dan bahasa yang sopan Amin menolak pertolongan mereka kerana payung tersebut tidak dapat membantunya mengatasi masalah basah semasa menunggang motorsikal.  Esekutif muda memandang ke arah insan-insan disekelilingnya yang tidak diketahui rendah atau tinggi darjat mereka cuba menghulurkan bantuan bersama hati yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan. Ternyata masih ada di dunia ini insan-insan yang mendukung erti persaudaraan dan kekitaan.
Amin teringatkan esekutif muda tadi lantas meminjam semula payung untuk seketika. Dia menuju ke arah esekutif muda itu.
“Mari encik, saya hantarkan encik ke kereta”, pelawa Amin.  Amin masih teguh berpegang kepada hablumminannas dalam mendukung erti persaudaraan dan kekitaan selagi dinamakan hamba Allah. Walau basah akibat curahan hujan yang tidak dapat menampung dua jasad di bawah satu payung, walau dipayungi petir dan guruh Amin masih menebarkan jaring bantuan. Senyuman terukir kejap di muka Amin yang terserlah aura keikhlasannya. Antara dengar dan tidak akibat guruh yang berdentum Amin bersuara
“Encik memerlukan sahabat. Mungkin seorang memadai untuk masa ini”, begitu ikhlas dan naïf kata-kata yang terkeluar dari mulutnya
Bagi esekutif muda, senyuman Amin seakan sindiran baginya.  Kelihatan dinding pipi esekutif muda kemerah-merahan atas bantuan kemanusiaan yang dihulurkan. Malu mungkin sedangkan baru tadi dia bersilat lidah dengan budak pejabat itu tentang prinsip hidup masing-masing. Sedangkan petir dan guruh masih saling bersatu inikan pula dirinya yang hanya bergelar insan.  Esekutif muda memandu laju kereta mewahnya meninggalkan bangunan pejabat yang berbumbungkan awan kumulonimbus yang mana telah menggoyahkan sedikit prinsip hidupnya selama ini.

No comments:

Post a Comment