Thursday, October 20, 2011

Anda Boleh

Hari ini, saya telah siap menyemak kertas soalan peperiksaan akhir tahun murid-murid tahun 5Bestari sekolah saya. Setiap kali menanda kertas mereka mimik muka saya sentiasa berubah. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri, ada kalanya saya ketawa, ada juga berkerut dahi membaca penulisan mereka. Namun begitu saya amat berpuas hati apabila 98% daripada mereka menggunakan teknik penulisan yang telah saya ajar. Bayangkan mereka yang dulunya hanya memperoleh 40% dan adakalanya gagal dalam penulisan berjaya mendapat 80% ke atas. Ada juga di antara mereka yang berjaya memperoleh 90% ke atas. Tak terhingga rasa syukur saya panjatkan apabila teknik-teknik yang telah saya gunakan mampu membantu mereka. Jika dulu semasa mereka berada dalam tahun 4 saya berasa amat bimbang dengan keputusan peperiksaan penulisan mereka kini saya boleh tersenyum bangga. Mana tidaknya jika dulu mereka hanya mampu memperoleh 40% dan 50% membuatkan saya berasa begitu bimbang. Cara demi cara saya fikirkan dalam membantu anak-anak didik saya akhirnya membuahkan hasil.

Saya teringatkan anak-anak murid saya di Sek Keb Bukit Gelugor tempat saya mengajar sebelum ini. Mereka juga mengalami masalah yang sama. Namun teknik-teknik yang telah saya gunakan mampu menjadikan mereka mahir dalam penulisan. Bayangkan kanak-kanak berumur 11 tahun sudah mampu menerapkan unsur personafikasi, metafora dan menggunakan plot cerita dalam menghasilkan karangan yang baik. Pernah saya tunjukkan kepada suami saya hasil penulisan murid saya yang bernama Yoganandam. Saya bertanyakan suami saya "Agak-agak you budak yang tulis karangan ini tingkatan berapa?" Setelah membacanya suami saya menjawab dengan yakin "Tingkatan 3". Dia seakan tidak percaya apabila saya mengatakan bahawa murid ini hanya berusia 11 tahun. Ramai lagi murid-murid saya yang berjaya menulis dengan baik. Antaranya Benjamin Yeoh, Brendon, Melissa, Gurraj Singh dan ramai lagi. Saya mengajar mereka sejak mereka berada di tahun 4 dan seterusnya atas permintaan ibu bapa saya mengikuti mereka sehingga darjah 5. Pelbagai program saya wujudkan antaranya Pengeditan Hasil Penulisan Murid, Program Penulisan Fakta (PEKA), Program Penulisan Cerita (PETA), Teknik Plot dan anak toyol dan banyak lagi benar-benar membantu mereka menjadi mahir menulis.

Kini saya meneruskan perjuangan saya di Sek Keb Sri Aman. Mereka juga berjaya menjadi penulis yang hebat. Dalam 35 orang murid, 26 daripada mereka mendapat A, 5 orang mendapat B dan 4 orang mendapat C. Tahniah kepada mereka yang selama ini menjadi pendengar yang baik semasa saya mengajar.

No comments:

Post a Comment